Hakikat Cinta Buat Muslimin Muslimah



Cinta adalah bagaikan cahaya, kalau cahaya itu telah datang dari sumbernya, maka dia akan menyebar kesegala penjuru dan segala arah dengan merata, sebagaimana cahaya matahari.


Allah adalah sumber kasih sayang, sumber segala rasa cinta. Kerana tidak mungkin kita akan hidup tanpa kasih sayang ini, tanpa cinta dan kasih sayang Allah. Bahkan alam semesta ini tidak mungkin akan ada tanpa kasih sayang-Nya itu. Justeru itu Allah menyatakan dalam AlQuran bahawa Dia-lah sumber dari segala rasa cinta manusia. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Wujud alam ini semata-mata kerana cinta dan kasih-Nya, kerana Nur-Nya. Tanpa Nur Allah, tanpa kasih-Nya alam ini tidak mungkin ada. Satu-satunya sifat yang mendorong terciptanya alam ini itulah dia sifat cinta. Dalam pengertian yang hakiki, cinta kasih itu ialah keinginan untuk memberikan, bukan keinginan untuk meminta atau mendapatkan.

Ramai pemuda yang tidak memahami pengertian cinta ini. Dia mengharapkan menerima sesuatu dari cinta itu, padahal seharusnya dialah yang memberi kalau sebenar-benarnya ia cinta. Kalau kita sudah merasakan nikmat memberikan sesuatu kepada seseorang, tandanya sudah ada hubungan cinta kita dengannya.

Mencintai seseorang haruslah sanggup dan bersedia berkorban terlebih dahulu dan beerti harus mengurangi apa yang kita miliki. Kerana itu, manusia tidak mungkin mempunyai sifat cinta yang murni.

Akan tetapi Allah S.W.T tidak pernah merasa rugi dengan memberi terus-menerus kepada kita dan seluruh makhluk-Nya. Justeru itulah cinta yang murni hanya akan dapat diperoleh dari Allah S.W.T.

Kalau cinta Allah kita gambarkan sebagai cahaya, maka tingkatan manusia yang paling tinggi ialah bila hatinya seperti cermin yang membiaskan seluruh cahaya yang datangnya dari cahaya cinta Allah yang dipancarkan kepadanya.

Firman Allah S.W.T yang bemaksud *;

“Mereka itu dicintai Allah, kerana mereka cinta kepada-Nya”(Surah Al-Maidah : 54)

Pernah satu ketika ana ditanya seorang adik, “Ustaz, bagaimana sebenarnya kita hendak mencintai kerana Allah?” Ana tidak menjawab sebaliknya bertanya kepada adik tersebut, “Siapa yang menciptakan kita dan siapakah yang menciptakan rasa cinta?” Persoalan ini mudah dan segera dijawab tanpa ragu oleh adik tersebut, “Allah, ya Ustaz”. Ana menyambung, “Adik, kita yakin dengan haq bahawa Allah yang menciptakan kita, Allah yang mengurniakan rasa cinta dalam diri kita kepada insan dan makhluk Allah yang lain dan sesungguhnya Allah yang turut menghapuskan rasa cinta dalam diri kita. Bagaimana mungkin kita mencintai seseorang tetapi kita tidak mencintai pada yang menciptakannya? (Yakni Al-Khaliq). Cinta yang sebenar itu adalah kita mencintai insan & makhluk dengan kecintaan kepada Al-Khaliq”

Cinta yang merupakan bukti daripada kecintaan kita kepada Allah adalah yang abadi, yang tidak pernah akan padam, kerana sumbernya pun tidak pernah padam. Itulah dia Cinta Allah kepada makhluk-Nya.

Adapun kecintaan kita kepada anak-anak dan isteri serta keluarga adalah hasil daripada cinta kita kepada Allah sebagai amanah daripada-Nya. Orang yang menghubungkan dirinya dengan cinta kepada Allah, maka orang itu mempunyai peribadi yang kukuh, peribadi yang paling besar cinta kita hendaklah didasarkan kepada cinta Allah. Baik cinta kepada anak isteri dan lain-lain sebagainya. Kerana kalau kita cinta kepada seseorang didasarkan cinta kepada Allah, kemudian kita menikahinya, maka segala pekerjaan yang kita kerjakan dengan pasangan hidup kita itu akan dihitung ibadah.

* Ayat AlQuran tidak dimasukkan. Hanya mafhum dan pengertian sahaja untuk menjaga kesuciannya. Ya Allah, redhakanlah ‘ilmuku.

8Sahibus Samahah Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi
E-mail: zulfadhli.alfahmi@gmail.com

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)"

Ukiran Kata Di Bibir Yang Indah

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;*

“Ucapkanlah kata-kata yang baik terhadap manusia” (Surah AlBaqarah : 83)

Mengenai ungkapan atau perkataan yang baik ini, ada ungkapan atau perkataan yang mengatakan :
“Diam adalah emas, berbicara adalah perak”

Maksud dari peribahasa tersebut, ucapan atau perkataan seseorang yang tidak berfaedah, dinilai laksana perak. Justeru itu, daripada berbicara yang tidak menentu, maka lebih baik baginya bersikap diam sahaja dan dengan demikian, harga diamnya itu laksana emas.

Mengingat peri pentingnya perkara yang berkenaan dengan perkataan itu dalam mengatur hubungan antara sesama manusia, maka Islam sebagai satu-satunya agama yang sentiasa memperhatikan keselamatan bersama, memerintahkan supaya umat Islam memelihara lisannya.

Baik di dalam AlQuran mahupun Hadith, tidak sedikit terdapat petunjuk-petunjuk yang dapat memberikan peringatan kepada kita supaya selalu melafazkan perkataan yang baik, yang mendatangkan faedah dan kentungan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Berbicaralah terhadap mereka dengan perkaaan yang baik” (Surah AnNisa’ : 5)

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar” (Surah AlAhzab : 70)


Sesungguhnya perkataan-perkataan yang baik itu tidak terbatas terhadap teman dan sahabat sahaja, tetapi juga terhadap lawan dan orang-orang yang membangkan sekalipun.

Sebagai contoh, ketika berhadapan dengan Fir’aun, Allah S.W.T. memerintahkan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun supaya berbicara dengan baik kepadanya. Sebagaimana Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Berbicaralah kamu berdua (Musa dan Harun) kepadanya (Fir’aun) dengan kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat (sedar) dan takut”

Dalam Hadith pula dinyatakan, betapa pentingnya fungsi lidah seseorang itu, dalam hubungannya dengan kemurnian Iman. Rasulullah S.A.W bersabda yang mafhumnya;

“Tidak akan tegak lurus iman seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya dan hati itu tidak dapat lurus, sebelum lidahnya jujur (terpelihara)” (Hadith Riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi yang mafhumnya;

“Berbahagialah orang yang mengamalkan ilmunya, yang menafkahkan sebahagian harta bendanya dan yang dapat mengendalikan perkataan yang berlebihan” (Hadith Riwayat Thabrani)

Ulama’ serta pemimpin-pemimpin Islam dari zaman ke zaman sentiasa memperlihatkan contoh supaya kita memelihara ucapan-ucapan dalam segala bidang kehidupan dan meninggalkan kata-kata mutiara yang berkenaan dengan perkara tersebut, untuk dapat dijadikan pedoman. Sebagaimana Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan:

“Lidah orang yang berakal terletak dibelakang hatinya, hati orang yang bodoh terletak di belakang lidahnya”

Dalam mutiara kata yang lain pula ada disebutkan
: “Kalau berjalan peliharalah kaki, kalau berkata peliharalah lidah”

Demikianlah bunyi dari kata-kata mutiara tersebut, walaupun kata-kata itu telah lama kita dengar, tetapi ianya tetap berguna sepanjang masa.

Kalau dilihat sepintas lalu, apalah ertinya lidah? Ia hanya sekadar daging kecil yang ada dalam mulut manusia yang sempurna. Sebab kalau tanpa lidah, seseorang manusia itu akan kekurangan dan manusia yang tanpa lidah, bertukar nama menjadi manusia bisu atau manusia yang tidak dapat berbicara.

Dengan lidah pula orang dapat menikmati makanan yang lazat, oleh kerana itu, lidah adalah merupakan nikmat dari Allah S.W.T. yang sangat besar ertinya dalam kehidupan manusia. Lidahlah yang menciptakan segala bahasa. Lidahlah yang memberikan suara semua fikiran dan cita. Lidahlah yang memberikan keindahan terhadap lagu dan irama. Lidahlah yang dapat membuat hati yang rindu menjadi mesra dan lidah pulalah yang dapat memberikan nasihat sehingga hati yang bergelora menjadi tenang.

Sebaliknya lidah pulalah yang dapa membalikkan kata-kata, dari lidah pula keluar kata-kata berbisa dan dari lidahlah juga menyebabkan terkeluarnya sya’ir yang mengatakan
“Masih ada harapan sembuh kalau pedang menusuk tubuh, kemana ubat hendak dicari kalau lidah menusuk hati”

Oleh kerana itu, berhati-hatilah dengan lidah, sebab dengan lidah dapat menimbulkan bencana dan fitnah, lidah juga dapat membuat orang yang bersaudara menjadi porak peranda dan lidah pula yang dapat membuatkan orang yang bersatu menjadi pecah.

Segala puji hanya bagiMu Allah. Sungguh kami sedar akan bencana lidah. Kami memohon supaya dijauhkan dari hasad dan ghibah yang terbit dari lidah. Tuntunlah kami agar menggunakan lidah pada haqnya. Ameen. Wallahu’alam.

* Ayat AlQuran tidak dimasukkan. Hanya mafhum dan pengertian sahaja untuk menjaga kesuciannya. Ya Allah, redhakanlah ‘ilmuku.


Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi

E-mail: al_qaradhawi@yahoo.com.my

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)