Allah adalah sumber kasih sayang, sumber segala rasa cinta. Kerana tidak mungkin kita akan hidup tanpa kasih sayang ini, tanpa cinta dan kasih sayang Allah. Bahkan alam semesta ini tidak mungkin akan ada tanpa kasih sayang-Nya itu. Justeru itu Allah menyatakan dalam AlQuran bahawa Dia-lah sumber dari segala rasa cinta manusia. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala-galanya.
Wujud alam ini semata-mata kerana cinta dan kasih-Nya, kerana Nur-Nya. Tanpa Nur Allah, tanpa kasih-Nya alam ini tidak mungkin ada. Satu-satunya sifat yang mendorong terciptanya alam ini itulah dia sifat cinta. Dalam pengertian yang hakiki, cinta kasih itu ialah keinginan untuk memberikan, bukan keinginan untuk meminta atau mendapatkan.
Ramai pemuda yang tidak memahami pengertian cinta ini. Dia mengharapkan menerima sesuatu dari cinta itu, padahal seharusnya dialah yang memberi kalau sebenar-benarnya ia cinta. Kalau kita sudah merasakan nikmat memberikan sesuatu kepada seseorang, tandanya sudah ada hubungan cinta kita dengannya.
Mencintai seseorang haruslah sanggup dan bersedia berkorban terlebih dahulu dan beerti harus mengurangi apa yang kita miliki. Kerana itu, manusia tidak mungkin mempunyai sifat cinta yang murni.
Akan tetapi Allah S.W.T tidak pernah merasa rugi dengan memberi terus-menerus kepada kita dan seluruh makhluk-Nya. Justeru itulah cinta yang murni hanya akan dapat diperoleh dari Allah S.W.T.
Kalau cinta Allah kita gambarkan sebagai cahaya, maka tingkatan manusia yang paling tinggi ialah bila hatinya seperti cermin yang membiaskan seluruh cahaya yang datangnya dari cahaya cinta Allah yang dipancarkan kepadanya.
Firman Allah S.W.T yang bemaksud *;
“Mereka itu dicintai Allah, kerana mereka cinta kepada-Nya”(Surah Al-Maidah : 54)
Pernah satu ketika ana ditanya seorang adik, “Ustaz, bagaimana sebenarnya kita hendak mencintai kerana Allah?” Ana tidak menjawab sebaliknya bertanya kepada adik tersebut, “Siapa yang menciptakan kita dan siapakah yang menciptakan rasa cinta?” Persoalan ini mudah dan segera dijawab tanpa ragu oleh adik tersebut, “Allah, ya Ustaz”. Ana menyambung, “Adik, kita yakin dengan haq bahawa Allah yang menciptakan kita, Allah yang mengurniakan rasa cinta dalam diri kita kepada insan dan makhluk Allah yang lain dan sesungguhnya Allah yang turut menghapuskan rasa cinta dalam diri kita. Bagaimana mungkin kita mencintai seseorang tetapi kita tidak mencintai pada yang menciptakannya? (Yakni Al-Khaliq). Cinta yang sebenar itu adalah kita mencintai insan & makhluk dengan kecintaan kepada Al-Khaliq”
Cinta yang merupakan bukti daripada kecintaan kita kepada Allah adalah yang abadi, yang tidak pernah akan padam, kerana sumbernya pun tidak pernah padam. Itulah dia Cinta Allah kepada makhluk-Nya.
Adapun kecintaan kita kepada anak-anak dan isteri serta keluarga adalah hasil daripada cinta kita kepada Allah sebagai amanah daripada-Nya. Orang yang menghubungkan dirinya dengan cinta kepada Allah, maka orang itu mempunyai peribadi yang kukuh, peribadi yang paling besar cinta kita hendaklah didasarkan kepada cinta Allah. Baik cinta kepada anak isteri dan lain-lain sebagainya. Kerana kalau kita cinta kepada seseorang didasarkan cinta kepada Allah, kemudian kita menikahinya, maka segala pekerjaan yang kita kerjakan dengan pasangan hidup kita itu akan dihitung ibadah.
* Ayat AlQuran tidak dimasukkan. Hanya mafhum dan pengertian sahaja untuk menjaga kesuciannya. Ya Allah, redhakanlah ‘ilmuku.
8Sahibus Samahah Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi
E-mail: zulfadhli.alfahmi@gmail.com
”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)"
1 comments:
1 April 2008 pada 9:29 PTG
bercakap ttg cinta..amat mudah..tapi jarang yang m'amalkannya.. terimakasih kerana menulisnya, sekurang-kurangnya ada yg mengambil berat..kadangkala apa yg kita lakarkan rupanya isi hati kita..hati mesti mau yg tbaik..buat membina baitul muslim.. insyaALLAH..attoibin littoiyibat..
Catat Ulasan