Murtad Berlaku Kerana Iman Goyah

MURTAD, berasal daripada perkataan Arab, bererti kembali atau orang yang kembali. Maksud dari perkataan ini ialah orang yang kembali ke agama asalnya setelah menerima Islam sebagai agamanya. Dari perspektif yang lain murtad bolehlah diertikan sebagai seorang Islam yang meninggalkan agama Islamnya tanpa mengira sama ada dia berasal daripada keturunan yang beragama Islam ataupun bukan dari keturunan beragama Islam.

Murtad bukan merupakan perkara baru dalam kehidupan umat Islam. Hal ini telah wujud dan berlaku sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu ketika Islam mula mengembangkan sayapnya di kepulauan Arab, di kalangan penganut agama Yahudi dan Nasrani.

Pada peringkat permulaan pengembangan, iaitu ketika Islam mula tersebar di kota Makkah, masalah murtad atau keluar dari agama Islam tidak timbul. Hal ini kerana orang yang memeluk Islam pada ketika itu benar-benar melakukannya kerana Islam. Mereka menganut agama Islam kerana yakin akan kebenarannya. Mereka memeluk agama Islam bukan kerana kepentingan atau sebab-sebab lain. Mereka yakin hanya Islam agama yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Mereka rela menanggung keperitan hidup atas nama Islam. Mereka juga rela diseksa dan sanggup dibunuh semata-mata kerana iman dan ketaqwaan. Hal ini terbukti melalui sikap Bilal bin Rabah, Ammar bin Yaasir, Suhaib Ar-Rumi dan ramai lagi yang teraniaya kerana memeluk Islam.

Apabila Islam mula tersebar luas di kepulauan Arab, semakin ramai yang menerima Islam sebagai agama. Tetapi tidak semua mereka yang menerima Islam itu semata-mata untuk Islam. Diantara mereka ada yang berkepentingan, atau mungkin kerana ikutan. Lantaran itu iman dan keyakinan mereka tidak tebal dan mereka mudah murtad, meninggalkan agama Islam.

Apabila berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan dalam Islam atau apa yang mereka hasratkan tidak tercapai, mereka pun mencari jalan pendek mengisytiharkan diri keluar daripada Islam dan kembali kepada agama asal mereka ataupun menganut agama yang lain. Inilah dimaksudkan murtad.

Hal ini masih berlaku sekarang. Cuma pada hari ini ramai orang Islam dilahirkan oleh ibubapa mereka yang beragama Islam. Mereka menjadi Islam baka atau Islam keturunan.

Allah S.W.T dan RasulNya tidak memaksa manusia supaya menerima Islam sebagai agamanya. Tidak ada paksaan dalam soal memilih agama. Tetapi apabila manusia memilih Islam sebagai agamanya dengan kerelaan dan kehendaknya sendiri tanpa sebarang paksaan, mereka tidak boleh lagi meninggalkan Islam atau menganut agama yang lain.

Dalam zaman Rasulullah S.A.W. jika seseorang itu murtad, mereka diminta supaya bertaubat dan kembali kepada Islam. Andainya mereka enggan, mereka hendaklah dibunuh. Bertepatan dengan maksud sabda baginda;

"Barangsiapa yang menukarkan agamanya (dari Islam kepada agama lain) maka ia hendaklah dibunuh"

Satu kerugian besar bagi orang yang telah murtad ialah segala amalan baik yang dilakukannya ketika ia beragama Islam akan terhapus dengan sendirinya. Hal ini dijelaskan dalam Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

"...dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (agama Islam) lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat dan mereka itu ialah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)"

Ini adalah amaran Allah S.W.T. dan RasulNya supaya umat Islam tidak kira samaada berketurunan Islam atau yang baru memeluk Islam supaya tidak keluar meninggalkan agama Islam atau murtad dan masuk pula ke agama yang lain.

Di sinilah letaknya kekuatan iman dan taqwa dalam Islam, iman dalam diri seseorang Islam berperanan sebagai akar tunjang bagi sepohon pokok. Andainya akar tunjang pokok itu kukuh dan teguh, maka pokok itu tidak akan mudah tumbang menyembah bumi walaupun ditiup angin kencang dan ribut taufan. Begitu juga iman seseorang Islam itu. Jika kuat maka ia tidak mudah murtad walaupun disogok dengan berbagai-bagai pengaruh yang boleh memesongkan.

Semoga kita semua terselamat daripada pengaruh keduniaan yang seringkali menggugat aqidah dan keimanan umat Islam masa kini. Wallahua'alam.

* Ayat AlQuran tidak dimasukkan. Hanya mafhum dan pengertian sahaja untuk menjaga kesuciannya. Ya Allah, redhakanlah ‘ilmuku.

8Sahibus Samahah Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi
E-mail: zulfadhli.alfahmi@gmail.com

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)"

0 comments: