Tiada Ilah Melainkan Allah S.W.T.

Jika Penciptamu telah Maha Pemurah memberikan alat penglihatan bagimu pada waktu kamu masih berwujud daging dan segumpal darah dalam perut ibumu, kemudian Dia melengkapkannya dengan alat penangkap cahaya, sehingga kamu dapat melihat dan dapat membezakan apa yang ada disekelilingmu, baik yang jauh mahupun yang dekat.


Jika Khaliqmu telah memberikanmu pendengaran ketika kamu dalam rahim ibumu, lalu Dia lengkapkan dengan alat pendengaran, sehingga kamu dapat menangkap pelbagai gelombang suara. Dengan alat itu kamu dapat memperhatikan dan mendengar apa yang kamu perlukan, dapat menghimpun berbagai macam ilmu dan pengetahuan sampai kepadamu melalui alat pendengaran itu. Kamu juga dapat berbicara dan bergaul dengan masyarakat dunia melalui alat pendengaran yang sangat berguna itu.

Jika Khaliqmu telah memberikanmu kekuatan aqal, kesedaran, pengertian, perbezaan antara yang haq dan batil, sehingga dengan kekuatan aqal dan qalbu yang sedar kamu dapat dibezakan dari makluk yang lainnya. Dengan aqal yang diberikan-Nya kepadamu, kamu berhasil memanfaatkan benda-benda yang ada disekelilingmu untuk kepentingan hidupmu. Kamu berhasil menundukkan gunung, lautan dan daratan, kamu berhasil menyelam ke dalam lautan dan mengharungi angkasa raya.

Cubalah kamu renungkan, wahai manusia yang cerdik, seandainya kamu tidak mempunyai pendengaran, penglihatan dan aqal yang sihat, tentulah kamu tidak sanggup berpindah-pindah tempat untuk mencari tempat teduh yang aman. Kamu tidak akan menemukan makanan dan minuman dengan mudah. Kamu juga tidak akan sanggup menyelamatkan diri dari kebuasan haiwan dan keganasan manusia lainnya. Di saat itulah kamu akan berfikir, bahawa kematian adalah lebih baik bagi dirimu daripada hidup dalam keadaan buta, pekak dan tidak memiliki aqal yang sihat.

Kalau keadannya demikian, wahai anak manusia yang pintar, mengapa kamu tidak sependapat dengan kami? Bahawa kewajipan utama dan pertama umat manusia adalah beriman kepada Allah? Kewajipan utama lainnya ialah kamu harus menggunakan nikmat yang telah diberikan-Nya kepadamu untuk mengenal Dia, supaya kamu tahu apa maksud dan tujuan dirimu diciptakan.

Pernahkah kamu membayangkan, jika sampai Tuhanmu marah dan mengambil kembali apa yang telah diberikan-Nya kepadamu? Dia cabut pendengaranmu. Dia cabut penglihatanmu. Dia cabut aqalmu. Lalu adakah ada orang yang sanggup menggantikan semua perlengkapan yang engkau perlukan itu?


Tepatlah di dalam AlQuran, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud*;

“Katakanlah, terangkanlah kepada mereka jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapakah Tuhan selain Allah yang kuasa mengembalikannya kepadamu? Perhatikanlah, bagaimana Kami berulang kali memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Kami, kemudian mereka tetap berpaling juga” (Surah AlAn’am : 46)

Begitulah seharusnya sikap kita, iaitu menggunakan nikmat yang sudah tersedia untuk mengenal Khaliq, serta menggunakannya di jalan kebaikan supaya Allah S.W.T. tetap redha kepada kita. Sebagaimana Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Maka ingatlah Allah, sebagaimana Dia telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.” (Surah AlBaqarah : 239)

Dengan demikian, kita akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang taat dan bersyukur kepada-Nya. Disamping itu, kewajipan utama dan pertama bagi seorang manusia yang beraqal ialah patuh pada perintah Tuhannya yang berFirman;

“Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah” (Surah Muhammad : 19)

Kita harus benar-benar yakin dengan kalimah tauhid ini dan janganlah sampai aqidah kita menjadi goyang dan juga supaya kita masuk ke dalam golongan orang yang mampu melihat hakikat keimanan kepada Allah S.W.T, melalui jalan ilmu pengetahuan. Dengan demikian, manusia telah mengangkat darjat dirinya dari orang yang buta dan pekak, yang tidak mahu mengakui kebenaran Tuhan menjadi orang yang mencintai Allah S.W.T dengan kesedarannya sendiri. Walahu’alam.

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya serta para sahabatnya, dengan limpahan rahmat yang aku dapat memperoleh rahsianya di dalam menghafaz AlQuran dan mengamalkannya. Dan berikanlah aku rezeki daripada AlQuran itu berupa ilmu yang bercahaya, serta limpahkan keselamatan yang banyak.”

* Ayat AlQuran tidak dimasukkan. Hanya mafhum dan pengertian sahaja untuk menjaga kesuciannya. Ya Allah, redhakanlah ‘ilmuku.

Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi
E-mail: zulfadhli.alfahmi@gmail.com

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)

1 comments:

  Tanpa Nama

18 Jun 2008 pada 2:31 PTG

Sekadar perkongsian. tok cerpen nok mek nulis psl topik tok (pendengaran, penglihatan dan hati)

http://1perspektif.blogspot.com/2008/04/arrgh-susahnya-ujian-ni.html