Bolehkah mimpi Dipercayai?



Mimpi? Ia.. Aku sering bermimpi.. Indah.. Semalam aku bermimpi menikahi seorang wanita solehah idaman hatiku.. Hidup bahagia bersama.. Hidup berkeluarga… Hanyut aku dibuai perasaan.. Membuatkan aku terleka dan ingin meneruskan tidur walaupun azan subuh sudah berkumandang… Seolah-olah aku ingin ianya menjadi kenyataan.. Hmm… Teringin aku mencari apakah sebenarnya makna mimpiku ini… Namun, adakah semua mimpi boleh dipercayai?

Ketika kita sedang tidur, kita sering bermimpi seolah-olah dibawa mengembara ke alam fantasi yang amat menyeronokkan. Kadang-kadang mimpi dirasakan sebagai kejadian yang benar berlaku di alam nyata tetapi segera hilang apabila tersedar.

Semua orang pasti bermimpi.. Bersua dengan mimpi yang beraneka bentuk ketika sedang tidur.. Ini tidak terkecuali juga kepada Nabi dan RasulNya..

AlQuran sendiri ada menceritakan tentang mimpi para Nabi dan RasulNya.. Antaranya ialah tentang mimpi Nabi Muhammad S.A.W dalam FirmanNya;

“Demi sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (yaitu) bahwa Sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman…”(Surah al-Fath ayat 27)

Mimpi Nabi Ibrahim juga terdapat di dalam AlQuran, Firman Allah;

“Maka tatkala anak (Nabi Ismail) itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan dapat daku termasuk orang-orang yang sabar" (Surah al-Shaffat ayat 102)

Dalam cerita mimpi Nabi Yusuf a.s. Allah telah berfirman;

(Ingatlah peristiwa), ketika Nabi Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, Sesungguhnya Aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku." (Surah Yusuf ayat 4)

Daripada cerita-cerita ini jelas menunjukkan para Rasul juga bermimpi. Cuma mimpi yang berlaku ke atas para Nabi dan Rasul terselamat daripada gangguan syaitan walaupun ketika sedang tidur dengan lena.

Dalam kita menentukan sama ada perkara yang dialami atau dilihat ketika tidur itu boleh dipercayai atau sebaliknya, perlulah diteliti terlebih dahulu bentuk dan jenis mimpi itu, serta jenis manusia yang bermimpi.

Syeikh Al Imam An-Naisaburi menegaskan bahawa Allah S.W.T. mencipta Jauhar al Nafs iaitu diri manusia yang dikenali sebagai rohani (roh). Roh boleh keluar dan berpisah daripad jasad manusia untuk beberapa waktu pada masa-masa tertentu iaitu apabila seseorang itu tidak sedarkan diri, ketika nazak, atau sedang tidur. Roh keluar menjelajah ke alam luar dan adakalanya sehingga menjejaki ke alam angkasa, ke alam Malakut dan alam Jabarut serta meninjau persekitaran Loh Mahfuz.

Apabila manusia berkeadaan normal ketika sedar, rohnya akan terikat dengan tugas-tugas rasminya menguruskan dan mengendalikan segala gerak badan termasuk aktiviti akal pemikiran manusia. Ketika ini roh tidak boleh bergerak bebas kemana-mana dan tidak boleh meninggalkan jasad manusia kecuali ketika manusia sedang tidur. Oleh itu ada orang yang mengatakan bahawa tidur itu adalah saudara kembar mati.

Syeikh al Imam An Naisaburi membahagikan mimpi kepada dua jenis.

Pertama adalah Ru’ya Al Sadiqah (mimpi yang benar) yang biasanya berlaku dikalangan para Nabi dan Rasul dan kadang-kadang berlaku juga kepada manusia biasa, cuma kita sahaja yang tidak dapat menentukan sama ada benar atau bayangan aqal sahaja. Mimpi jenis ini adalah satu kebenaran dan boleh dipercayai. Jenis ini boleh dihuraikan dan dita’birkan (dihuraikan) walaupun tidak ramai yang mengetahui ta’bir mimpi.

Kedua ialah Adghathu Ahlam (mimpi yang bercampur aduk dan yang dianggap mainan tidur). Mimpi jenis ini banyak berlaku di kalangan manusia biasa dan merupakan bayangan akal atau jelmaan. Bayangan ini biasanya menjelma dalam tidur seseorang akibat daripada ganbaran dan pemikiran yang masih ada dalam ingatan dan terbawa -bawa hingga ke masa tidur.

Huraian ini jelas menunjukkan bahawa ada mimpi yang boleh dipercayai, yang boleh dita’birkan dan di analisa berlaku di kalangan orang tertentu.

Tetapi kebanyakan jenis mimpi hanyalah merupakan jelmaan pemikiran hasil daripada khayalan yang kadangkalanya ada berkaitan dengan apa yang berlaku sebelumnya.. Ada juga yang berpendapat bahawa mimpi juga adalah bayangan hasutan syaitan ke dalam fikiran manusia ketika aqalnya tidak dikuasai oleh rohani dan keimanan.

Persoalannya sekarang.. Bagaimana memelihara diri dari mendapat mimpi yang buruk serta terpelihara dari gangguan syaitan..?

Menurut pengalaman, penulis menyarankan beberapa kaedah sahaja untuk tatapan pembaca sekalian dan bolehlah dirujuk kaedah yang lain untuk tambahan pengetahuan disamping mengamalkannya.

Bersihkanlah tempat tidur terlebih dahulu dari sebarang kotoran. Disamping kekotoran boleh menyebabkan penyakit, syaitan amat menyukai pada kekotoran dan bersarang padanya. Jika katilmu telah lama ditinggalkan dari penghuni, ambillah selimut atau lembaran kain dan kibarkan pada katil sebanyak 3 kali sambil membaca selawat keatas Rasulullah. Ini bagi mengelakkan tidurmu dari diganggu jin dan ‘penghuni lain’ sebelummu. Penulis seringkali mendapat aduan dari pelajar asrama yang di tindih oleh makhluk halus. Kemungkinan besarnya disebabkan tidur di atas katil yang telah lama ditinggalkan.

Amalkan sebelum tidur dengan berwudhu’ walaupun ianya bukanlah sunnah namun ianya adalah perkara yang baik. Semoga dirimu diberkati Allah. Lazimkan diri membaca alFatihah ditambah dengan Surah 3 Qul (Surah Al Ikhlas, Al Falaq, AnNas) dan sapukan diseluruh badan bermula dari kepala hingga ke kaki. Semoga dengan ini dirimu akan dilindungi dari bela bencana, sihir dan gannguan syaitan. InsyaAllah.

Akhir sekali saranan penulis sebagaimana yang di amalkan oleh Saidina Umar r.a., maafkanlah kesalahan orang lain dan redhakan mereka di dalam sepanjang hari kita mencelikkan mata sebelum masuk tidur, mudah-mudahan tidurmu akan menjadi lebih tenang dan aman.


Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid AsSarawaqi
E-mail: zulfadhli.alfahmi@gmail.com

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Surah Al Baqarah (2): 207)"

0 comments: